Buku Sri Ratu Saadong VII

Kutinggalkan rakyat, kutinggalkan negeri, kutinggalakan harta, kutinggalkan segala.  Merajuk diriku sehelai sepinggang, lalu berlabuh di tempat asalku, di mana bumi kupijak,     di situ langit kujunjung, aku bersumpah tak lagi kuinjak negeri Kelantan sehingga   cukup tujuh keturunan

Sri Ratu Saadong VII, Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali

Begitulah lafaz sumpah keramat Puteri Saadong, lagenda rakyat Kelantan kira-kira 420 tahun yang lampau. Walau bagaimanapun sumpahan keramat tersebut dikatakan tamat dengan selesainya majlis pemasyhuran generasi ke tujuh Puteri Saadong iaitu Raja Tengku Putri Anis Raja Razali pada tepat jam 11 malam 8 Jun 2010 di Dewan Utama PCB Resort, Kota Bharu, Kelantan di dalam satu majlis yang penuh dengan adat-istiadat Raja-Raja Melayu dan Nusantara.

Raja-Raja dan Sultan-Sultan bergambar kenang-kenangan bersama dengan Ratu Saadong VII

Apa yang lebih menarik majlis tersebut turut disertai oleh kira-kira 20 Raja-Raja dan Sultan-Sultan dari seluruh Kepulauan Indonesia, termasuk seorang Raja dari Pulau Papua yang terletak di penghujung sebelah timur negara tersebut. Rombongan turut disertai oleh kaum kerabat mereka. Menurut penganjur, pada awalnya seramai 60 orang Raja-Raja dan Sultan-Sultan dijangkakan hadir, namun terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir kerana sebahagiannya terpaksa hadir ke Majlis Pertabalan seorang Sultan di sana.

Seluruh kaum kerabat dan rakan taulan Ratu Saadong juga tidak melepaskan peluang bergambar dengan Ratu Saadong VII

Raja dari Wilayah Papua yang terletak di penghujung sebelah timur Indonesia turut hadir bagi menzahirkan sokongan kepada Ratu Saadong VII

Kehadiran Raja-Raja dan Sultan-Sultan tersebut adalah bagi menunjukkan tanda sokongan dan pengiktirafan mereka terhadap dakwaan yang dibuat oleh Raja Tengku Anis sebagai Ratu Saadong  VII iaitu generasi ke tujuh Puteri Saadong atau nama asalnya Puteri Vijaya Mala yang dikatakan berasal dari Pulau Jawa. Ayahanda Puteri Vijaya Mala dikatakan bernama  Putra Arya Pengiri yang merupakan menantu Sultan Hadiwijaya, Raja Pajang, manakala bondanya bernama Ratu Mas iaitu anakanda kepada Ratu Champa dari keturunan Maharaja Sri Kudungga .

Ringkasan Sejarah Puteri Saadong

Bagi rakyat Kelantan, nama Puteri Saadong mungkin biasa didengar tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang sejarah kewujudannya terutamanya generasi muda.  Baiklah, kisah sejarah Puteri Saadong ini dimulakan dengan sejarah Kelantan  dalam tahun 1411M (814H) di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Kumar. Tetapi sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat mengesani daripada manakah asalnya Raja Kumar ini. Walau bagaimanapun baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada Maharaja China itu.

Mungkin inilah Puteri Saadong di zaman silam

Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginda Sultan Mansur. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pada 1477M, Sultan Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Kelantan. Walau bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1528M).

Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran “Sultan Gombak”. Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun Puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.

Cik Siti Wan Kembang dan Cik Wan Kembang adalah 2 orang tokoh yang berbeza dan hidup di zaman yang berbeza

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda  Cik Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkam menjadi Permaisuri Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah tenggara Kuala Krai.

Pemerintahan Cik  Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab.  Baginda mempunyai seekor kijang  yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.

Gunung Ayam yang dikatakan tempat terakhir Puteri Saadong bersemayam

Semasa dalam pemerintahan Cik  Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah baginda mangkat, maka putera baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Sultan pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.

Air Terjun Gunung Stong (1504 meter) yang terletak bersebelahan Gunung Stong di Hutan Simpan Dabong yang juga dikaitkan dengan Lagenda Puteri Saadong

Pintu masuk ke Tanah Serendah, yang pernah menjadi kota pentadbiran Cik Siti Wan Kembang

Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik  Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti. Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.

Peta Hulu Kelantan

Kisah kecantikan Puteri Saadong telah tersohor ke seluruh pelusuk Nusantara dan didengari oleh Maharaja Siam bernama Narai (1656-1688), lalu baginda telah menitahkan  Panglimanya yang  bernama Phraya Decho supaya menyerang Kelantan dan menculik Puteri Saadong. Selepas diculik dari suaminya, Puteri Saadong dibawa kepada Narai. , Walau bagaimanapun ,kerana kesetiaannya pada suami, baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam kerana setiap kali Maharaja Siam ingin bersamanya, Maharaja tersebut telah dijangkiti oleh penyakit kulit yang pelik yang sukar diubati. Raja Siam tersebut telah dinasihati oleh dukun-dukunnya supaya menghantar  Puteri Saadong balik ke negeri asalnya.

Begitulah selama 13 tahun baginda berada di negara Gajah Putih tersebut namun, kesucian dan kesetiannya tetap terpelihara. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah kerana suami itu telahpun berkahwin lain sepeninggalannya. Tindakan Raja Abdullah berkahwin lain telah mengecewakannya kerana walaupun baginda berada di dalam tawanan Siam, kehormatannya tetap terpelihara kerana setianya baginda terhadap Raja Abdullah iaitu suaminya. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong. Pandangan umum mengatakan bahawa Puteri Saadong telah membunuh suaminya, namun demikian berdasarkan kepada kajian terbaru menunjukkan bahawa Puteri Saadong tidak membunuh suaminya seperti yang disangka oleh para sejarawan.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah “kerajaan mahligai” dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H).

Selepas kemangkatan suaminya, Puteri Saadong dikatakan telah bersemayam di Bukit Marak, walau bagaimanapun tidak berapa lama selepas itu Puteri Saadong telah membawa hatinya yang merana lalu menuju ke Hulu Kelantan dan dikatakan bersemayam pula di Gunug Ayam. Selepas itu kisah baginda tidak lagi diketahui, maka tersebarkan kisah kononnya baginda telah hilang dan ghaib ke alam bunian, tidak lagi dapat dilihat dengan pandangan mata kasar manusia. Kisah ini terus-menerus dipercayai oleh masyarakat Kelantan sebagai satu mitos dan lagenda, bercampur baur dengan unsur-unsur khurafat dan syirik,  sehingga ke hari ini.

Kisah Puteri Saadong sebenarnya tidak lenyap begitu sahaja, rupa-rupanya baginda dikatakan telah membawa hatinya yang masih duka lara lalu berhijrah ke  Acheh.  Di Acheh baginda telah menukar namanya dengan nama Puteri Hijau atau Ratu Hijau bersempena dengan tanam-tanamannya yang yang subur menghijau. Sepanjang di sana baginda banyak berdampingan dengan para alim ulama bagi mempelajari ilmu-ilmu keagamaan.

Setelah lama bermusafir di Acheh, lalu baginda telah disunting   oleh  seorang anak Raja Bugis yang berkebetulan telah berkunjung ke sana . Baginda kemudiaannya telah berkahwin dengan dengan anak Raja Bugis tersebut yang kemudiannya menjadi  Sultan Gowa yang digelar  Mappadulu  Daeng  Muttimung  Karaeng  Sanrabone  Sultan  Abdul  Jalil  Tuminanga  Ri  Lakiyung (1677-1709) .    Hasil daripada perkahwinan tersebut, baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri yang bernama Puteri Kesumawati Jumro Kapilin (1689-1760)  yang merupakan keturunannya yang pertama.

Selepas itu, baginda dikatakan telah pergi menunaikan ibadat haji di Mekah. Sepeninggalannya, baginda telah menyerahkan amanah bagi menjaga dan mengasuh puteri tunggalnya kepada inangnya yang digelar Seri Inang. Kisahnya Puteri Saadong sekali lagi lenyap kerana baginda dikatakan telah mangkat di Mekah sewatu menunaikan Rukun Islam Kelima tersebut.

Puteri lagenda zaman berzaman

Hilang jejak sejuta warisan

Bertumpah darah di negeri Kelantan

Sejarah tercipta demi kedaulatan

Program-Program Sepanjang Istiadat Pemasyhuran Ratu Saadong VII

Di sebalik kontroversi tentang asal-usul keturunan Raja Tengku Putri Anis yang mendakwa sebagai Ratu Saadong VII seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, majlis Pelancaran Buku “Sri Ratu Saadong VII”  dan Majlis Pemasyhuran Ratu  Saadong VII berjalan dengan lancar dan penuh dengan adat-istiadat Raja-Raja Melayu dan Nusantara.

Kad Jemputan, halaman 1

Kad Jemputan, halaman 2

Kad Jemputan, halaman 3

Kad Jemputan, halaman 4

Buku Atucara Istiadat Pemasyhuran

Ucapan Alu-aluan YAB Menteri Besar Kelantan 1

Ucapan Alu-aluan YAB Menteri Besar Kelantan 2

Buku Sri Ratu Saadong VII

Majlis yang dilangsungkan selama 3 hari 3 malam itu bermula dengan Majlis Perasmian dan Pelancaran Buku “Sri Ratu Saadong VII yang disempurnakan oleh EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Dato’ Nik Amar Nik Abdullah yang mewaliki  YAB Menteri Besar, Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz yang bermula pada jam 9.30 malam 7 Jun 2010.  Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan Melayu tradisi dan juga pementasan teater tentang kisah “penculikan” Puteri Saadong oleh Maharaja Siam dan “pembunuhan” Raja Abdullah.

Ketibaan para Raja dan Sultan

Ketibaan tetamu kehormat, EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kelantan Dato' Nik Amar Nik Abdullah

Dalam ucapannya, Nik Amar menjelaskan, “jika benar apa yang ditulis  buku ini waris Puteri Saadong ditemui di Acheh, maka ia memberi satu lembaran baru kepada rakyat di kedua-dua negeri ini, malah saya melihat Kelantan dan Acheh memiliki banyak persamaan, bukan sahaja dari segi sebutan, nama tempat, bahkan juga memiliki persamaan kebudayaan”.

Para Raja dan Sultan serta tetamu sedang menantikan majlis dimulakan

Ucapan perasmian oleh Dato' Nik Amar mewakili YAB Menteri Besar

Gimik pelancaran buku "Sri Ratu Saadong VII"

Sempurna sudah majlis pelancaran buku

Dato' Nik Amar bergambar kenangan bersama dengan para Raja dan Sultan

Salasilah Ratu Saadong VII disampaikan kepada Dato' Nik Amar

Perarakan masuk Ratu Saadong VII di atas Bahtera Burung Petalawati

Pementasan teater "penculikan" Puteri Saadong oleh Maharaja Narai Siam

Persembahan dikir Barat "Puteri Saadong"

Ratu Saadong VII dikelilingi sebahagian para Raja selepas selesai upacara pelancaran buku

Selain itu Nik Amar juga bersyukur kerana dengan pendedahan ini, salah tanggapan masyarakat berkenaan dengan misteri “kehilangan” Puteri Saadong dapat diperbetulkan. Ia seterusnya akan dapat mengelakkan masyarakat Kelantan khususnya daripada terus dibelenggu dengan kepercayaan karut yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah.

Berikutnya, acara yang ditunggu-tunggu iaitu Majlis Pemasyhuran Ratu Saadong VII yang dilangsungkan pada malam kedua iaitu pada jam 9.30 malam 8 Jun 2010. Acara penuh bermakna tersebut juga diadakan bersempena sambutan hari lahir Raja Tengku Putri Anis ke-24 yang berkebetulan jatuh pada hari yang sama.

Istiadat Pemasyhuran Sri Ratu Saadong VII pada malam kedua

Persembahan tarian

Istiadat penyerahan cenderamata kepada Ratu Saadong VII

Acara pada malam tersebut bermula dengan persembahan tarian, diikuti dengan ucapan-ucapan dari Raja-Raja dari Kepulauan Indonesia sebagai tanda merestui majlis pemasyhuran yang diadakan. Di samping itu juga majlis turut diselitkan dengan acara memotong kek dan pulut kuning  serta acara penganugerahan cenderamata oleh seluruh Raja yang hadir dan juga kerabat Ratu Saadong VII.

Upacara memotong "Kek 7 Tingkat" menandakan tamatnya sumpahan tujuh keturunan Puteri Saadong

Upacara memotong Pulut Kuning

Bonda Ratu Saadong VII, Raja Fauziah Syed Yaacob sedang menyuap manisan ke mulut putrinya

Ratu Saadong VII sedang menyampaikan sumpah serta ikrar untuk berkhidmat dan berbakti kepada seluruh rakyat di seluruh Nusantara

Upacara pemasyhuran dijalankan pada tepat jam 11.00 malam diikuti dengan ucapan Ratu Saadong VII bagi menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sebagai waris ke tujuh Puteri Saadong bagi memakmurkan bumi Kelantan dan seluruh Nusantara. Dengan sempurnanya majlis ini, bermakna tamatlah apa yang dikatakan sumpahan  Puteri Saadong ke atas zuriatnya dari memijak bumi Kelantan.

Teristimewa, anugerahkan keris warisan dari kerajaan Surakarta Hadiningrat selaku Keraton yang tertua di Pulau Jawa. Penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas'ud Toyyib

Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro menceritakan tentang keistimewaan keris warisan Kerajaan Surakarta

Dalam majlis tersebut juga, Ratu Saadong VII telah dianugerahkan keris warisan dari kerajaan Surakarta Hadiningrat selaku Keraton yang tertua di Pulau Jawa. Penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas’ud Toyyib sebagai tanda keesahan dan pengiktirafan seluruh Raja-Raja di Indonesia terhadap Ratu Saadong VII. Dalam ucapan sempena penganugerahan keris pusaka tersebut Pangeran Norman telah “bersumpah” bahawa, seluruh Raja-Raja di Indonesia akan mempertahankan Ratu Saadong VII dari sebarang usaha bagi mencemarkan kemuliaan gelaran dan keturunannya.

Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dari Kerajaan Surakarta Hadiningrat sewaktu menyampaikan ucapan mewakili seluruh Raja-Raja dan Sultan-Sultan

Upacara menandatangani plak bagi menandakan pengiktirafan Raja-Raja dari seluruh Indonesia terhadap Ratu Saadong VII

Semua Raja dan Sultan yang hadir telah menandatangani plak ini

Raja dari Papua sedang menandatangani palk sebagai tanda sokongan dan pengiktirafan kepada Ratu Saadong VII

Pada malam terakhir, acara diadakan dengan penuh santai bertujuan bagi menghiburkan tetamu yang hadir dan juga mereka yang terlibat sepanjang majlis tersebut. Dalam majlis ini, para tetamu diraikan dengan jamuan “barbeque” kambing, ayam, ikan dan sotong di samping beraneka juadah yang lain.

Acara pada malam terakhir, penuh santai, makan BBQ kambing, ayam, sotong dan ikan di samping beraneka makanan lain sambil berhibur

Di samping menyanyi, Ratu Saadong VII juga menyampaikan sajak

Penuh syahdu, Ratu Saadong VII sedang menyanyikan lagu dalam bahasa Acheh

Menitiskan air mata mengenangkan perjuangan masyarakat Acheh

Rancak dan bertenaga, persembahan oleh Amir Mokhtar, peserta Bintang RTM yang menyanyikan lagu "Cik Mek Molek" yang ditujukan khas kepada Ratu Saadong VII

Sepanjang majlis berlansung, para tetamu dihiburkan dengan persembahan sajak, puisi dan nyanyian. Tidak ketinggalan, Ratu Saadong VII juga turut mempersembahkan dua buah lagu termasuk sebuah lagi tradisi dalam bahasa Acheh.

Bersemayam sudah Ratu Saadong VII di atas singgahsananya

Senyuman menawan Sang Ratu, Ratu Saadong VII Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali

Begitulah serba sedikit tentang kisah Puteri Saadong dan misteri yang menyelubunginya serta program-program yang penuh gilang-gemilang yang berlangsung sepanjang majlis pemasyhuran tersebut. Rupa-rupanya kehilangan baginda bukanlah sebagaimana apa yang ditanggapi oleh masyarakat, kehilangannya bukan lagi misteri kerana baginda telah berkelana dan berkahwin serta mempunyai zuriat keturunan, sama seperti manusia yang lainnya. Dengan ini seharusnya kemunculan semula apa yang disebut sebagai generasinya yang ke tujuh dengan gelaran  Ratu Saadong VII, dialu-alukan dan bukannya diperdebatkan. Seharusnya ianya dikaji dengan penuh ilmiah dan seterusnya dimanfaat bagi memperbetulkan salah akidah yang masih membelenggu masyarakat, khususnya sesetengah masyarakat Kelantan pada hari ini yang masih lagi kuat mempercayai unsur-unsur mistik dan tahyul.