Sungai air tawar di dasar laut Mexico

Kisah penemuan sungai di bawah laut seperti yang  dipaparkan di kebanyakan dada-dada akhbar di seluruh dunia kelmarin sungguh menggemparkan dunia saintifik. Kisah penemuan tersebut yang didedahkan oleh sekumpulan penyelidik dari University of Leeds sebenarnya bukanlah penemuan yang pertama dan bukan juga yang terakhir.

Sebelum ini sudahpun ditemui beberapa fenomena seumpamanya, di antaranya ialah kisah penemuan sungai di bawah laut di dalam sebuah gua di dasar laut  di Cenote Angelita, Mexico oleh penyelam skuba dan oceanografer terkenal  Mr.Jacques Yves Costeau.

Sungai "air tawar" di dasar laut Mexico yang ditemui oleh Jacques Yves Costeau

Apa yang membezakan di antara ke dua-dua penemuan di atas ialah, penemuan terbaru ialah aliran seakan sungai yang mengalir di dasar Laut Hitam yang mengalir dari Selat Bosphorus. Sungai ini sebenarnya bukanlah sungai seperti yang kita lihat di darat di mana sungai semestinya berair tawar. Sungai yang ditemui tersebut sebenarnya berair masin. Jadi dengan kata lain,  ia sebenarnya bukanlah sungai.

Manakala kisah penemuan kedua iaitu yang berlaku di Mexico, seperti yang diceritakan di atas adalah penemuan sungai yang betul, sama seperti sungai di daratan iaitu berair tawar. Di antara kedua-duanya sebenarnya sangat berbeza tetapi  kisah penemuan tersebut sebenarnya bukanlah pelik, apatah lagi jika kita benar-benar mengkaji dan memahani apa yang terkandung di dalam al-Quran. Perkara tersebut sebenarnya sudah dijelaskan di dalam al-Quran, cuma kita sahaja yang malas membeleknya.

Jikapun kita membeleknya, hanya sekadar membacanya tanpa cuba memahami dan mengkajinya. Apapun terima kasihlah kepada para saintis barat yang sudah pastinya tidak beragama Islam kerana akhirnya berjaya membuktikan mukjizat al-Quran.

Baiklah, di manakah penjelasannya di dalam al Quran ? Berhubung dengan kisah penemuan terbaru di Laut Hitam, sungainya seperti yang dijelaskan adalah BERAIR MASIN. Jadi ia sebenarnya bukanlah sungai tetapi sebenarnya adalah air laut, cuma tahap kemasinannya dan kepekatannya adalah berbeza yang menyebabkan ianya tidak akan bercampur sama sekali. Hal ini telah dijelaskan di dalam al-Quran seperti di bawah:

Dia membiarkan dua lautan mengalir yang keduanya kemudian bertemu, antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui masing-masing. (ar-Rahman : 19-20)

Sama dengan fenomena di dasar Laut Hitam...Gambar di atas menunjukkan aliran air laut Mediteranean ketika memasuki Lautan Atlantik melalui Selat Gibraltar. Airnya bergerak beberapa ratus kilometer ke wilayah Atlantik pada kedalaman 1000 meter dengan tetap mempertahankan sifatnya yang hangat, berkadar garam lebih tinggi dan lebih pekat. Pada kedalaman ini, air laut Mediteranean berada dalam keadaan stabil, meskipun ada ombak besar, arus dan pasang surut yang kuat, seolah-olah ada batas yang menghalangi pencampuran air dari ke dua-dua lautan ini. (Marine Geology, Kuenen)

Kisah penemuan kedua  pula, di Mexico, memang jelas menunjukkan ianya adalah sungai BERAIR TAWAR di bawah laut. Hal tersebut juga sebenarnya bukanlah pelik kerana ianya juga telah dijelaskan di dalam al-Quran seperti di dalam ayat di bawah:

Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.(al-Furqan:53)

Jadi terpulanglah kepada empunya diri masing-masing untuk memikirkannya. Betapa apa yang sebenarnya tersurat  bukanlah seperti yang kita sangkakan. Sungguh Agung dan Luasnya ilmu Tuhan.

Akan Kami perlihatkan secepatnya kepada mereka kelak, bukti-bukti kebenaran Kami di segenap penjuru dunia ini dan pada diri mereka sendiri, sampai terang kepada mereka, bahwa al-Quran ini suatu kebenaran. Belumkah cukup bahwa Tuhan engkau itu menyaksikan segala sesuatu. (Fushshilat : 53)