SEJARAH NEGERI RAHMAN

Mungkin ramai yang terkejut dan hairan apabila disebut  negeri RAHMAN  dan tertanya-tanya dimanakah negeri RAHMAN ini ?   Negeri RAHMAN ini sebenarnya lebih dikenali sebagai  Negeri REMAN. Negeri ini asalnya terletak  di utara Tanah Melayu  meliputi kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai  Hulu Perak, Hulu Kelantan dan Yala (di Selatan Thailand). Walau bagaimanapun disebabkan oleh campurtangan penjajah khususnya Inggeris dan Siam,  negeri ini akhirnya dibubarkan pada tahun 1902,apabila Kerajaan Siam telah menghapuskan sistem pemerintahan beraja di Negeri Reman setelah raja terakhirnya iaitu TUAN LEBEH bangkit menentang SIAM dengan cuba memerdekakan REMAN. Akhirnya Tuan Lebeh ini ditangkap dan dipenjara. Baginda dikatakan telah dibunuh dan dipancung semasa di penjara dan  kepalanya dikatakan masih disimpan di BANGKOK bersama-sama dengan kepala LONG MANSOR, cucunda Long Gaffar yang kebetulan SAMA keturunan. Setelah itu, Kerajaan Siam telah menyerahkan daerah Hulu Perak kepada Kerajaan Perak dalam Istiadat penyerahan daerah Hulu Perak dilangsungkan di Kroh pada 16 Julai 1909.

Daerah-daerah di Perak

Hulu Perak

Hulu Perak

Sebenarnya tidak tidak lengkap sekiranya  kita membicarakan tentang Long Gaffar tanpa mengaitkannya dengan sejarah negeri REMAN. Long Gaffar merupakan  putera sulong RAJA REMAN yang menjadi Raja Muda Negeri Reman sebelum baginda mengambil keputusan untuk berhijrah dan membuka negeri baru yang di kenali sebagai Negeri KELAR LINTANG iaitu Kelantan pada sekitar akhir  tahun 1750, kira-kira 30 tahun sebelum kejatuhan EMPAYAR PATANI pada tahun 1785.  Di dalam beberapa buku yang saya baca ada mencatatkan bahawa Negeri REMAN ini ditubuhkan oleh SIAM pada sekitar tahun 1810 iaitu selepas kegagalan beberapa siri pemberontakan oleh Raja-Raja Patani bagi membebaskan diri dari penjajahan Siam selepas kekalahan Empayar Melayu Patani pada tahun 1785. Walau bagaimanapun pada pandangan saya  pendapat itu adalah SALAH dan MENGELIRUKAN.

BENARKAH NEGERI REMAN (RAHMAN)  BARU DIWUJUDKAN

Empayar Melayu Patani merupakan sebuah empayar yang berbentuk PERSEKUTUAN di mana di dalamnya terdapat banyak negeri-negeri yang bersekutu dan setiap negeri tersebut mempunyai RAJA atau SULTAN yang tersendiri. Dikatakan sewaktu PUNCAK kegemilangan Empayar Patani pada sekitar abad ke 16 dan 17 Masehi (semasa pemerintahan RATU KUNING), terdapat 43 buah negeri yang bersekutu di dalam empayar tersebut dan di antara negeri-negeri tersebut adalah negeri Reman.

Negeri Reman

Ratu-Ratu Kesultanan Melayu Patani

Asal-Usul Keturunan Long Gaffar

Menurut catatan, keturunan Long Gaffar dikatakan berasal dari Pagar Ruyung, Palembang di Sumatera. Susur galur keluarga Long Gaffar dikatakan mempunyai kaitan dengan keturunan Sang Nila Utama. Menurut adat perpatih, anak lelaki perlu keluar mengembara bagi mencari untung nasib. Kisahnya bermula apabila tiga orang putera raja bersaudara keluar mengembara menuju ke Tanah Melayu. Lalu mereka bertiga menaiki kapal layar diiringi oleh  para pengikutnya. Walau bagaimanapun, di tengah perjalanan kapal layar mereka telah dipukul oleh ribut taufan. Ini menyebabkan kapal layar mereka musnah dan karam. Kesemua anak kapal dan pengikut putera raja berkenaan dikatakan mati kecuali tiga orang putera raja berkenaan. Namun mereka bertiga tidak lagi bersama dan masing-masing hanyut dibawa arus.

Salah seorang dari mereka iaitu yang tengah, yang kemudiannya dikenali sebagai Tok Nik telah diselamatkan oleh ikan kekacang (muncung tajam dan berwarna putih). Ikan tersebut dikatakan telah membawa beliau ke sebuah pantai. Tok Nik kemudiannya naik ke darat dan seterusnya beliau bersumpah bahawa keturunannya tidak boleh memakan ikan kekacang kerana mengenangkan nasibnya yang telah diselamatkan oleh ikan tersebut.

Seterusnya, Tok Nik yang tidak tahu arah tuju itu meneruskan pengembaraannya seorang diri di tempat yang begitu asing  baginya. Di dalam pengembaraannya, beliau dikatakan telah bersahabat dengan orang bunian. Oleh kerana lama perjalanan, beliau dikatakan telah bertukar rupa dan menjadi sangat hodoh bagaikan rupa seorang orang asli.

Setelah lama mengembara, Tok Nik tiba di satu tempat yang bernama Bendang Saring. Kebetulan pada masa ketibaannya ada keramaian bagi memilih menantu. Raja negeri berkenaan mengisytiharkan sesiapa yang boleh mengambil dan membawa turun satu pelepah   dari pokok saring yang tinggi, akan dikahwinkan dengan puteri baginda yang bernama Nang Cayang    dan seterusnya akan diberikan sebahagian daripada negeri Bendang Saring. Pada mulanya pertandingan tersebut dibuka kepada putera-putera raja dan para pembesar sahaja. Namun, tidak ada dari kalangan mereka yang berjaya membawa turun satu pelepah dari pokok tesebut,

Seterusnya pertandingan tersebut diisytiharkan buat kali kedua dan pada kali ini ianya terbuka kepada semua rakyat jelata. Seorang demi seorang rakyat mengadu nasib, namun semuanya gagal. Akhirnya, Tok Nik memberanikan diri mencuba nasib kalau-kalau dapat menurunkan  pelepah pokok saring. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Tok Nik dan dari situlah beliau dikenali dengan nama berkenaan. Melihatkan rupanya yang hodoh, orang ramai yang hadir  mengejek dan mentertawakan beliau. Tindakan orang ramai itu tidak diendahkan oleh Tok Nik dan beliau seterusnya tampil menyatakan hasratnya. Beliau menyatakan dua permintaan iaitu sebilah kapak dan seberapa banyak paku yang boleh. Setelah permintaannya dipenuhi, beliau mengambil kapak dan setimba yang penuh dengan paku  lalu memanjat pokok berkenaan. Sambil memanjat, beliau mengambil kapak tersebut, lalu memukul paku ke batang pokok  saring bagi dijadikan tangga.

Akhirnya beliau sampai ke pucuk pokok saring dan beliau dapati terdapat tiga pelepah, sedangkan yang diminta hanya satu pelepah sahaja. Lantas beliau teringatkan kepada  abang dan adiknya yang tidak diketahui apakah untung nasib mereka. Beliau kemudiannya menetak dahan pertama, lalu bermohon kepada tuhan jika beliau adalah keturunan raja berdaulat, minta supaya pelepah itu jatuh ke tempat di mana abangnya berada supaya mengetahui bahawa beliau masih hidup. Pelepah itu kemudiannya hanyut diterbangkan oleh angin dan jatuh di suatu tempat yang dikenali sebagai Gangga Negara di Kedah. Cahaya pelepah itu dikatakan berwarna putih (perak).

Selepas itu, Tok Nik menetak pula pelepah yang kedua dan bermohon kepada tuhan supaya pelepah itu sampai kepada adiknya walau di mana beliau berada supaya dapat diketahui hidup atau matinya. Lalu pelepah itu hanyut diterbangkan oleh angin dan jatuh di negeri Ayuthia. Pelepah itu dikatakan mempunyai cahaya keperangan (tembaga).

Akhir sekali, Tok Nik menetak pelepah terakhir dan memohon kepada tuhan supaya ianya jatuh ke pangkal pokok bagi membuktikan kejayaannya. Setelah pelepah tersebut jatuh, Tok Nik turun ke bawah menggunakan tangga yang telah dibuat semasa memanjat pokok tersebut. Tok Nik telah diisytiharkan sebagai pemenang, lantas Raja Bendang Saring memanggil Tok Kadi, lalu dikahwinkan Tok Nik dengan puterinya yang bernama Nang Cayang sebagaimana yang telah dijanjikan.

Pada mulanya, puteri tersebut enggan dikahwinkan dengan Tok Nik memandangkan rupanya yang hodoh. Oleh kerana sudah dijanjikan sebelum pertandingan itu diadakan, Raja Bendang Saring pun mengahwinkan puterinya dengan Tok Nik. Pada waktu malamnya, puteri Nang Cayang bersembunyi kerana enggan tidur bersama Tok Nik. Tok Nik membiarkan perlakuan isterinya itu dan pada waktu tengah malamnya, disebabkan terlalu panas, Tok Nik bangun untuk mandi. Sebelum mandi, beliau menanggalkan pakaiannya, lalu menampakkan rupa beliau yang sebenar. Rupanya dikatakan sangat tampan, tidak seperti yang dilihat sebelumnya. Setelah selesai mandi, Tok Nik menyarungkan kembali pakaiannya dan rupanya kembali bertukar menjadi hodoh. Tindakan Tok Nik itu diperhatikan oleh khadam raja, lalu dikhabarkan kepada Raja Bendang Saring.

Pada keesokannya, satu perancangan telah diaturkan oleh Raja Bendang Saring untuk mencuri pakaian Tok Nik semasa beliau mandi. Pada malamnya, seperti malam sebelumnya, Tok Nik bangun untuk mandi dan sebelum itu, beliau menanggalkan pakaiannya, lalu diletakkan di satu tempat. Sebagaimana yang telah dirancangkan, semasa beliau sedang mandi, pakaiannya itupun dicuri oleh khadam raja, lalu dipersembahkan kepada raja. Raja Bendang Saring kemudiannya menitahkan supaya pakaian itu dibakar api.

Setelah selesai mandi, barulah  Tok Nik sedar bahawa  perlakuannya telah diintip dan pakaiannya telah dicuri. Oleh itu, Tok Nik terpaksa membuka rahsia dirinya yang sebenar. Lalu diceritakan kepada ayahanda mertuanya tentang asal-usul keturunannya yang berasal dari Pagar Ruyung dan peristiwa yang membawa beliau ke Bendang Saring. Selepas peristiwa itu, barulah puteri Nang Cayang mendekati suaminya Tok Nik dan hiduplah mereka berdua dengan bahagia. Sebagaimana yang telah dijanjikan juga, ayahandanya telah memberikan sebahagian dari negeri Bendang Saring untuk dirajai oleh Tok Nik dan puteri Nang Cayang. Setelah ayahanda mertuanya meninggal dunia, Tok Nik dilantik menjadi Raja negeri Bendang Saring. Selepas itu beliau dikenali sebagai Tok Nik Bendang Saring. Pasangan itu dikurniakan seorang putera yang juga dikenali sebagai Tok Nik (Tok Nik Raja Reman).  Setelah beliau meninggal dunia, beliau dimakamkan di Gua Kasut yang terletak di Kampung Jaha di Jalor (Yala).  Manakala kubur Tok Nik Raja Reman pula terdapat di Kota Bharu Reman.

BERIKUT SALASILAH RAJA REMAN SECARA TERPERINCI

MAHARAJA SRIMAT TRAILOKYARAJA – MAHARAJA SURAN – RAJA TILAM – RAJA SAKRANTA – SULTAN MAHMUD JIDDAH – RADEN MAS ARIYA (HANG TUAH DALAM HIKAYAT HANG TUAH DIKATAKAN PERNAH BERGURU DENGAN BAGINDA)  - PUTRI SELINDUNG BAYU (BERKAHWIN DENGAN ZURIAT KETURUNAN NABI MUHAMMAD S.A.W IAITU SAYYID HUSAIN JAMADIL QUBRA IAITU MOYANG KEPADA WALI SONGO DI NUSANTARA) – SAYYID ALI NURUL ALAM – SULTAN MAULANA SHARIF ABU ABDULLAH –WAN ABUL MUZAFFAR – SULTAN ABDUL HAMID SYAH.

SULTAN ABDUL HAMID ADA 3 PUTERA
1. DATU’ NIK IBRAHIM
2. SULTAN NIK BADR US SALAM
3. NIK ALI (PANGLIMA AGUNG PATANI)

SULTAN NIK BADR US SALAM  MENDAPAT SEORANG PUTERA BERNAMA WAN DAIM. WAN DAIM PULA MEMPEROLEH 3 PUTERA IAITU;
1. TUAN SULONG, BAGINDA MEMPUNYAI PUTERA BERNAMA LONG PANDAK YANG MENJADI RAJA KOTA KUBANG LABU (DI
PASIR PEKAN, KOTA BHARU  KELANTAN).
2. LONG BAHAR YANG MEMPUNYAI ANAK BERNAMA LONG SULAIMAN DAN ANAK LONG SULAIMAN PULA BERNAMA LONG
YUNUS ( MOYANG KEPADA KETURUNAN  SULTAN KELANTAN SEKARANG)
3. RAJA LONG NIK (DATU’ PUJUD ) IAITU RAJA NEGERI REMAN ( YANG  SEKARANG MELIPUTI YALA DI SELATAN
THAILAND, GRIK DI PERAK, DAN HULU KELANTAN )

RAJA LONG NIK PULA MEMPUNYAI 4 PUTERA;
1. LONG NUH
2. LONG MAN
3. LONG ABDUL RAHMAN (RAJA LEGEH)
4. LONG GAFFAR IAITU PENGASAS SEBENAR NEGERI KELANTAN MODEN SETELAH BERJAYA MENGALAHKAN KERAJAAN
KOTA KUBANG LABU DALAM DUA PEPERANGAN SEKITAR TAHUN 1760-AN).

RAJA-RAJA REMAN (RAHMAN) DI BAWAH PENGARUH SIAM

Berikut pula adalah Raja negeri-negeri di Patani termasuk REMAN yang dilantik oleh Siam setelah kekalahan Patani pada tahun 1785, lebih tepat lagi selepas 1808, yang dipetik daripada buku  Ibrahim Syukri bertajuk SEJARAH PATANI…

Setelah pekerjaan membahagi negeri Patani sudah selesai, Nai Phya
telah diangkat menjadi Raja Jering dan diserah kuasa kepadanya
menjaga segala wilayah-wilaya yang lain itu. Tetapi segala urusan
pemerintahan dalam negeri terletak di bawah perhatian dan kawalan
Raja Singgora dan pada tiap-tiap wilaya itu disuruh Nai Phya memilih
orang-orangnya yang dipercayai kemudian dihantar memerintah dalam
tiap-tiap buah wilaya itu serta diberi taraf kepada meraka itu
seperti raja-raja juga.

Adapun orang-orang yang dipilih oleh Nai Phya dan dihantar memerintah
di dalam wilayah-wilayah yang tersebut itu ialah demikian :

1. Tuan Haji Sulong diangkat menjadi Raja Patani duduknya di Kota Gerisik

2. Tuan Nik diangkat menjadi Raja Nongcik duduknya di Kota Nongchik.

3. Tuan Mansur diangkat menjadi Raja Reman duduknya di Kota Baharu.

4. Tuan Jalur diangkat menjadi Raja Jalur duduknya di Jala.

5. Nik Dah diangkat menjadi Raja Legeh duduknya di Kota Legeh.

6. Nik Dih diangkat menjadi Raja Sai duduknya di Jerenga.

RAJA-RAJA REMAN DI BAWAH PENGUASAAN SIAM

1. TUAN MANSOR
2. TUAN KUNDOR (anak Tuan Mansor)
3. TUAN TIMUN (anak Tuan Kundor)
4. TUAN JAGONG atau TENGKU ABDUL KADIS (adik Tuan Timun)
5. TUAN LEBEH (Raja terakhir…anak Tuan Jagong)

Raja-Raja Reman selepas tahun1810. Dipetik daripada buku Sejarah Hulu Perak



Pemerintahan Raja-Raja Reman yang dilantik oleh Siam ini berjalan selama hampir 100 tahun iaitu bermula awal abad ke-19 dan berakhir pada awal abad ke-20…PERLU DIJELASKAN DI SINI BAHAWA WALAUPUN RAJA-RAJA REMAN INI DILANTIK OLEH SIAM, MEREKA MERUPAKAN DARI KETURUNAN RAJA REMAN YANG ASAL IAITU DARIPADA KELUARGA LONG GAFFAR. Secara keseluruhannya jika diambil kira dari awal kemunculan negeri REMAN ini iaitu sekitar tahun 1600 Masehi, bermakna sejarah negeri REMAN ini telah berlangsung selama hampir 300 tahun…suatu tempoh yang lama…sebelum diHANCURkan dan dibahagi-bahagikan kepada 3 iaitu sebahagiannya diserah kepada PERAK iaitu HULU PERAK, sebahagiannya dimasukkan ke dalam KELANTAN iaitu HULU KELANTAN ( sekitar Tanah Merah ke atas) dan sebahagian lagi masih lagi DIJAJAH oleh Thailand iaitu YALA.

ARTIKEL INI AKAN TERUS DIKEMASKINIKAN DARI SEMASA KE SEMASA…