Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal (1903 - 1976), bondanya iaitu Wan Halimah binti Haji Nik Ismail Limbat adalah cicit kepada Tuan Lembut. Beliau merupakan  Syeikh tarekat Ahmadiyah Idrisiah terpenting di rantau ini

Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal (1903 – 1976)  merupakan zuriat keturunan Tuan Lembut yang termasyhur, bukan sahaja dalam kalangan anggota keluarga malah turut dikenali di seluruh dunia sebagai Syeikh Tarekat Ahmadiyah Idrisiah yang terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa / Sidi Muhammad al-Azhari / Syeikh Mohd. Said Linggi.

Nama penuh tokoh sufi ini ialah Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi. Beliau lahir di Kampung Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903.

Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal

Bapanya,  Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kampung Mentera, Bukit Marak. Ibunya pula bernama Wan Halimah, puteri kepada  Haji Nik Ismail atau Haji Nik Ismail Limbat yang berkahwin dengan Wan Nah, puteri Raja Legeh.

Wan Halimah  ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Nik Ismail atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Awang Limbat iaitu  pengasas Pondok Bukit Abal. Saudara kandung  ibunya yang lain adalah Nik Khadijah dan Nik Sapiah.

Datuk di sebelah ibunya iaitu Haji Nik Ismail adalah tokoh agama yang disegani. Beliau  yang terkenal dengan gelaran Tok Baruh ini berkhidmat dengan Raja Limbat sebagai Penghulu Bendahari yang berperanan menasihati Raja dalam hal-ehwal agama Islam dan merupakan tokoh penting dalam perlaksanaan hukum hudud.

Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal adalah adik kandung kepada Tuan Guru Haji Muhammad Limbat / Gong Kemudu. Dua orang lagi saudara kandungnya ialah Mahmud dan Mariam.

Salasilah Tuan Lembut...Menurut buku "AHLUL-BAIT Rasulullah SAW, Dinasti Melayu & Akhir Zaman",tulisan Hj Muzaffar Dato' Hj Muhammad (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman, Raja Wan Daim ini salasilahnya bersambung terus kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Wan Daim ibni Nik Mustapha (Po Rome) ibni Wan Abul Muzaffar ibni Sultan Abu Abdullah (Wan Bo) ibni Ali Alam (Ali Nurul Alam) ibni Jamaluddin Al-Husain (Sayyid Hussein Jamadil Kubra) ibni Ahmad Syah Jalal ibni Abdullah ibni Abdul Malik ibni Alawi Amal Al-Faqih ibni Muhammad Syahib Mirbath ibni 'Ali Khali' Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Al-Syeikh Ubaidillah ibni Ahmad Mahajirullah ibni 'Isa Al-Rumi ibni Muhammad Naqib ibni 'Ali Al-Uraidhi ibni Jaafar As-sadiq ibni Muhammad Al-Baqir ibni 'Ali Zainal Abidin ibni Al-Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasullullah SAW.

Tok Kenali

Antara guru-guru awalnya ialah Tuan Guru Haji Wan Ahmad (bapa saudara dan juga bapa mertuanya), Haji Sulaiman Kubang Kachang, Tok Kenali, Tok Seredik, Maulana Tok Khurasan dan lain-lain.

Di kota Makkah pula, beliau mendalami pengajiannya dengan Syeikh Omar Hamdan, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki , Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari  dan Syeikh Muhammad Shafie Kedah(Tok Shafie).

Kedua-dua penama akhir inilah yang banyak mencurahkan amalan Tarekat Ahmadiyah (termasuk ilmu Ihsanudin) kepadanya.

Silsilah Tareqat Ahmadiah Idrisiah Ustaz Zakaria Awang Al-Ahmadi

1) Sayyidina Muhammad bin Abdullah s.a.w
2) Sayyidi Imam Ali Karramallahu Wajhah.
3) Sayyidi Al Kurkhi. Hasan bin Ali.
4) Sayyidi Al Hasan Al Basri.
5) Sayyidi Habib Al Ajami.
6) Sayyidi Daud bin Nasir at Toie.
7) Sayyidi Maaruf bin Fairuz
8) Sayyidi Sirri bin Al Mughlas as Siqti.
9) Sayyidi Abul Qasim Junaid Al Baghdadi.
10) Sayyidi Abu Bakar bin Jahdar Asy Syibli.
11) Sayyidi Abu Al Fadhl at Tamimi.
12) Sayyidi Abu Al Farj at Tortusi.
13) Sayyidi Abu Ali Al Hasan bin Yusof.
14) Sayyidi Said Al Mubarak.
15) Sayyidi Abdul Qadir Al Jailani.
16) Sayyidi Abdur Rahman Al Madani.
17) Sayyidi Abdul Salam Mashish.
18) Sayyidi Abul Hasan as Syazili.
19) Sayyidi Abu Al Abbas Al Mursi.
20) Sayyidi Ahmad bin Atho’ilah as Iskandar.
21) Sayyidi Daud bin Bakhili.
22) Sayyidi Muhammad Bahru Sofa.
23) Sayyidi Ali bin Muhammad bin Wafa.
24) Sayyidi Yahya Al Qadiri.
25) Sayyidi Ahmad bin Aqabah Al Hadrami.
26) Sayyidi Ahmad bin Zaruq.
27) Sayyidi Ahmad bin Yusof Al Ghilani.
28) Sayyidi Ali bin Abdullah al Ghilani.
29) Sayyidi Abul Qasim Al Ghazi.
30) Sayyidi Ahmad bin Ali Al Haj Ad Dar’ei.
31) Sayyidi Muhammad bin Nasir.
32) Sayyidi Al Izzi Al Ghishtali.
33) Sayyidi Umar bin Muhammad Al Hawari.
34) Sayyidi Abdul Aziz bin Mas’ud Ad Dabbagh.
35) Sayyidi Abdul Wahab at Tazi.
36) Sayyidi Qutub an Nafis Ahmad bin Idris Al Hasani.
37) Sayyidi. Ibrahim Rashid
38) Sayyidi .Muhammad Dandarawi
39) Sayyidi Muhammad AlAzahari
40) Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.
41) Ustaz Zakaria Awang

Setelah kembali dari Mekah pada awal tahun1941, beliau berkebun sambil mengajar agama di beberapa tempat. Akhir sekali pulang menetap di Bukit Abal, Pasir Puteh lalu berusaha menghidupkan semula pondok peninggalan bapa mertuanya, Haji Awang Limbat.

Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan,  mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mula mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu usuluddin, furu’uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengalaman zikir tarekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan para muridnya, beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1965) dan pada awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.

Beliau telah meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976.

Warisan ilmunya kini disebarkan pula oleh tokoh-tokoh sepertiTuan Guru Haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah), Ustaz Wan Hasan Bukit Tanah (Ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs Abdul Rahman Haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan  Prof. Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam).

Pondok Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan

Makam Haji Daud Bukit Abal yang terletak bersebelahan dengan SMK Seri Maharaja.

Makam Haji Daud Bukit Abal

Papan tanda di pintu masuk makam Haji Daud Bukit Abal

Sewaktu Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia telah berlaku satu peristiwa yang pelik iaitu kedatangan manusia yang sangat luarbiasa ramainya malah tidak diketahui dari mana datangnya sehingga memaksa pihak berkuasa mengawal keadaan dan lalulintas. Malah pengurusan dan penghantaran jenazah beliau dari rumah ke tempat pengebumiannya sangat cepat kerana orang ramai meng”pas-pas”kan jenazah beliau dari kediamannya hingga ke tanah perkuburan  beliau dikebumikan.

Almarhum meninggalkan  3 orang putera dan seorang puteri hasil perkahwinannya dengan sepupunya iaitu Wan Zainab binti Haji Wan Ahmad. Mereka ialah  Wan Karimah, Wan Muhammad Ridho (Ustaz Muhammad Besar), Wan Muhammad Mubarak (Ustaz Muhammad Kecil)  dan Wan Muhammad Zaki. Sekarang ini, usaha dakwah almarhum diteruskan oleh putera kedua dan ketiganya.

Al-Fatihah untuk Tuan Guru.