Sejak akhir-akhir ini sudah banyak kali gempa bumi direkodkan berlaku di sekitar Selat Melaka khususnya di Pulau Sumatra. Terbaru adalah gempa bumi   sekuat 7.8 magnitud pada skala Richter yang  berlaku di kedalaman 46 kilometer (km) di utara Sumatera, Indonesia,  pada awal pagi iaitu kira-kira pada pukul  jam 5.15 pagi waktu tempatan (2215 GMT) pada 7 April 2010, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat.

Gempa yang melanda utara Sumatra pada 5.15am (8.15am waktu Melbourne), seperti yang dilaporkan oleh US Geological Survey

Ekoran daripada kejadian gempa tersebut, amaran tsunami telah dikeluarkan di Sumatra dan  beberapa buah negara jiran yang lain  seperti Thailand dan Malaysia. Walau bagaimanapun amaran tersebut telah ditarik balik beberapa jam berikutnya. Akhbar semalam juga turut melaporkan beberapa kejadian “aneh” yang sama seperti yang berlaku sebelum tsunami Acheh pada akhir tahun 2004 berlaku.  Antaranya ialah seperti yang berlaku di Sungai Petani, Kedah di mana nelayan-nelayan dilaporkan terkejut dengan hasil tangkapan yang sangat banyak berbanding hari-hari biasa. Mereka juga dilaporkan amat berpuas hati dengan hasil tangkapan walaupun terpaksa pulang awal ekoran bimbang dengan amaran tsunami yang dikeluarkan kesan daripada gempa tersebut.

NELAYAN di Kota Kuala Muda, Sungai Petani dilihat memunggah hasil tangkapan selepas pulang awal bagi mengelak risiko tsunami. Kosmo

Menurut seorang pakar gempa dari Universiti Andalas, Padang, Sumatera Barat,  gempa terbaru tersebut dipercayai berpunca daripada keretakan plat sekitar Kepulauan Mentawai, di barat Sumatera. Menurutnya gempa kali ini adalah jenis baru. “Kejadian ini menunjukkan gempa bumi tidak dapat diramalkan,” kata Badrul Kamal yang dipetik agensi berita Antara. Kejadian tersebut juga telah menolak ramalan  kebanyakan pakar sebelum ini yang berpendapat Sumatera akan bebas daripada dilanda gempa selepas gegaran 8.7 skala Richter melanda Nias pada 2005 dan 9.2 skala Richter melanda Aceh, tahun sebelumnya.

Penduduk di Medan, Sumatra yang bimbang bergegas keluar rumah ekoran gempa tersebut. Reuters

Berikut adalah rekod kejadian gempa bumi yang berlaku di  Sumatra, Indonesia bermula dari tahun 2000 sehingga tahun 2009 seperti yang dilaporkan oleh Historic World Earthquakes, U.S. Geological Survey (USGS).

Melihat kepada statistik di atas, sudah cukup untuk membuatkan kita terduduk seketika bagi merenung dan memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku. Seterusnya, untuk tahun ini sahaja   sudah hampir 20 gempa bumi berlaku di sekitar pulau Sumatra, termasuklah yang belaku pada subuh 7 April lalu.

Kedudukan plat tektonik

Pusat aktiviti seismik di sekitar Sumatra

Jadi, apakah kejadian gempa bumi yang berlaku seperti yang dicatatkan di atas tidak memberi kesan kepada keadaan geografi kawasan sekitarnya terutamanya Selat Melaka. Seperti yang kita sedia maklum, setiap aktiviti gempa bumi yang berlaku adalah disebabkan oleh pergerakan yang berlaku ke atas plat, dalam konteks gempa bumi yang berlaku di Sumatra, ia adalah disebabkan pertembungan dan regangan yang berlaku ke atas dua plat utama di Asia Tenggara iaitu Plat Sunda dan Plat Australia di mana kedua-duanya dipisahkan oleh apa yang disebut sebagai “SUNDA TRENCH” yang kebelakangan ini seringkali menjadi pusat kepada semua aktiviti seismik.

Berdasarkan kepada apa yang berlaku, berkemungkinan kesemua gempa bumi yang berlaku di sekitar kawasan tersebut akan memberikan kesan kepada Selat Melaka yang memang telah sedia diketahui merupakan satu laluan yang sangat sempit tetapi sangat penting dan strategik.

Kedudukan Pulau Sumatra dan Semenanjung Malaysia yang dipisahkan oleh Selat Melaka dengan jarak yang paling sempit adalah kurang daripada 50 km

Dari segi ekonomi dan strategik, Selat Malaka merupakan salah satu jalur pelayaran terpenting di dunia, sama pentingnya dengan Terusan Suez atau Terusan Panama. Selat Melaka membentuk jalur pelayaran terusan antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik serta menghubungkan tiga dari negara-negara dengan jumlah penduduk terbesar di dunia iaitu India, Indonesia dan China.

Laluan paling sempit di Selat Melaka adalah antara Melaka dan Dumai

Kira-kira 50,000 kapal kargo dan kapal tangki melalui Selat Melaka dari barat ke Timur setiap tahun. Justeru itu Selat Melaka sangat penting kepada kestabilan ekonomi dunia khususnya kepada negara Amerika Syarikat, Jepun, China dan lain-lain negara di Asia Tenggara, khususnya Singapura. Hampir satu perlima perdagangan dunia terpaksa melalui Selat Melaka. Pada 2003, 11 juta barrel barangan melaluinya setiap hari.

Kepentingan Selat Melaka dari segi strategik, keselamatan dan ekonomi memang diakui dan sebarang perubahan yang berlaku ke atas geografi selat tersebut sudah pasti akan memberi kesan yang amat besar kepada dunia umumnya dan di Asia Tenggara, negara yang paling terkesan jika ianya berlaku sudah pasti Singapura yang selama ini menjadi pusat perdagangan dan kewangan yang terpenting di rantau ini.

Tun Mahathir Mohamad

Adakah kita sudah bersedia jika fenomena ini berlaku ? Jawapannya ialah YA. Jika kita perhatikan dan kaji segala dasar dan pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan khususnya pada zaman pemerintahan Datuk Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad   yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, kita akan dapati sudah terdapat perancangan dan persediaan bagi menghadapi kemungkinan tersebut.

Projek Lebuh raya Utara Selatan (PLUS)

Di antaranya adalah pembinaan Lebuh raya Utara Selatan sepanjang 847.7 km yang mula dibina pada tahun 1988. Sebenarnya persediaan ke arah pembinaan lebuh raya tersebut sudahpun bermula pada tahun 1977 apabila Jabatan Kerja Raya menerima arahan rasmi untuk melukis pelan lebuh raya dari sempadan Malaysia-Thai (Bukit Kayu Hitam dan dihubungkan dengan Lebuh raya Phetkasem di Thailand) ke Tambak Johor. Walau bagaimanapun kerja-kerja awal bagi pembinaan lebuh raya tersebut hanya bermula pada tahun 1981. Lebuh raya berkenaan siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada Februari 1994.

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP)

Seterusnya adalah pembinaan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di muara Sungai Pulai, Johor yang dihubungkan dengan Lebuh raya Utara Selatan. Tujuan pembinaan pelabuhan ini oleh Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd., iaitu pemilik Pelabuhan Johor (pelabuhan pertama di Johor), adalah semata-mata untuk bersaing denganPelabuhan Singapura melalui taraf kualiti yang setanding tetapi dengan kos kepada pelanggan yang lebih murah. PTP memulakan operasinya pada 10 Oktober 1999.  Disebabkan oleh kerancakan pembangunan PTP yang terletak begitu dekat dengan laluan kapal-kapal kontena di Selat Melaka dan  Singapura, ianya telah menimbulkan ketegangan hubungan yang bukan sedikit dengan negara pulau tersebut. Walau bagaimanapun Singapura tidak dapat berbuat apa-apa kerana pembinaan PTP hanya disedari agak lewat disebabkan oleh kelicikan pimpinan Malaysia pada masa itu.

PTP sangat strategik dan amat dicurigai oleh Singapura

Melalui kedua-dua kemudahan tersebut yang sebenarnya saling berkait di antara satu sama lain, ia telah menyediakan negara Malaysia bagi menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku terhadap Selat Melaka. Seandainya satu hari nanti Selat Melaka “tertutup”, dengan kemudahan tersebut Malaysia sudah pasti akan mengambil alih peranan Singapura sebagai pusat perdagangan dan kewangan utama. Pada saat tersebut Singapura sudah pasti akan “bungkus” dan akan “berlutut” kepada Malaysia sepertimana yang diramalkan oleh Perdana Menteri pertama Tengku Abdul Rahman Putra sewaktu membuat keputusan memisahkan Singapura.

Sebagai pelengkap kepada kedua-dua prasarana di atas, kerajaan telah merancang satu projek landasan berkembar yang bakal menghubungkan utara ke selatan Semenanjung. Berdasarkan perancangan, projek berkenaan sepatutnya  perlu dilaksanakan pada tahun 2007 supaya ia dapat digunakan menjelang tahun 2012. Walau bagaimanapun projek berkenaan tertangguh beberapa kali disebabkan oleh beberapa masalah teknikal. Apabila siap kelak ia bukan sahaja dapat menyediakan kemudahan pengangkutan barangan pukal bahkan juga bakal menjadi pengangkutan penumpang yang terpenting bagi menghubungkan utara Semenanjung dengan Singapura.

Seterusnya adalah perancangan pembinaan Terusan Kra atau Terusan Segenting Kra (juga dikenali sebagai Terusan Thai) merupakan sebuah terusan besar yang dirancang untuk membelah Semenanjung Tanah Melayu di bahagian Segenting Kra. Seperti projek  Terus

Beberapa cadangan laluan Terusan Kra dan kepentingannya

an Suez dan Terusan Panama, tujuan utamanya ialah untuk menambah baik sistem pengangkutan laut di rantau ini.

Cadangan untuk terusan yang membelah Segenting Kra, bagi memendekkan laluan perkapalan di Asia telah diutarakan semenjak tahun 1677, bila Raja Ayuthia, Narai meminta seorang jurutera Perancis bernama De Lamar untuk membuat kajian bagi pembinaan satu terusan yang menghubungkan Songkla dan Marid ( Myanmar sekarang). Kajian mendapati cadangan ini tidak praktikal dengan kemudahan teknologi yang ada ketika itu. Pada tahun 1793, idea ini kembali diutarakan oleh adik bongsu Raja Chakri (Rama I) untuk memudahkan kapal-kapal perang melindungi pantai barat Siam.  Pada awal kurun ke–18, pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris juga menunjukkan minat kepada pembinaan terusan ini. Selepas Burma menjadi jajahan British pada tahun 1863 dengan Victoria Point yang bertentangan dengan muara Kra menjadi titik paling selatannya, satu peninjauan telah dilakukan tetapi dengan hasil negatif. Pada tahun 1882, pembina Terusan Suez, Ferdinand de Lesseps telah melawat kawasan ini tetapi dilarang untuk menyelidik lebih dalam atas arahan Raja Siam. Pada tahun 1897, kerajaan Siam dan Empayar British telah bersetuju untuk tidak membina terusan ini agar kepentingan Pelabuhan Singapura di rantau ini dilindungi.

Pada tahun 1985, terdapat satu rancangan oleh syarikat Jepun untuk membina terusan ini menggunakan lebih 20 peralatan nuklear yang setiap satunya berkekuatan dua kali ganda kuasa bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima. Tapak terbaru terusan ini dirancang di sepanjang wilayah Nakhon Si Thammarat dan Trang. Jika disiapkan, terusan ini dijangka bakal memberi ledakan ekonomi di kawasan berhampiran serta seluruh Thailand dan memberi saingan hebat kepada pelabuhan-pelabuhan di  Selat Melaka. Walau bagaimanapun cadangan tersebut senyap seketika sehinggalah semasa Thaksin Shinawatra menjadi Perdana Menteri Thailand dari tahun 2001 sehingga 2006. Dikatakan bahawa Thaksin dan Mahathir telah menghidupkan semula cadangan tersebut dan beberapa perancangan ke arah pembinaan terusan tersebut telah dimulakan.

Cadangan semula pembinaan Terusan Kra tersebut telah dapat dihidu oleh Singapura yang sememangnya sudah teruk menerima kesan akibat daripada pembinaan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan PLUS. Membiarkan sahaja Thaksin dan Mahathir membina terusan ini seolah-olah menggali kubur sendiri bagi Singapura. Inilah dikatakan antara punca kenapa Thaksin akhirnya dijatuhkan melalui satu rampasan kuasa tentera pada 19 September 2006. Dikatakan bahawa dalang di sebalik kejatuhan Thaksin sebenarnya adalah Singapura yang berjaya mempengaruhi tentera supaya merampas kuasa. Maka sekali lagi cadangan pembinaan terusan tersebut terpaksa dihentikan.

Seandainya “percantuman” Selat Melaka benar-benar berlaku, sudah pasti kesannya amat besar bukan sahaja kepada rantau ini bahkan kepada seluruh dunia. Bukan sahaja Selat Melaka penting bahkan juga keseluruhan rantau ini sebenarnya amat penting kepada percaturan kuasa-kuasa besar. Jika berlaku, sudah pasti geo-politik dunia sudah pasti akan berubah dan sudah semestinya kita perlu bersedia menghadapinya. Apa yang pasti pemimpin-pemimpin kita sudah sudahpun diberi “petunjuk” oleh Allah bagi menyiapkan segala prasarana bagi menghadapinya. Prosesnya sudah bermula tetapi ia mungkin tidak akan berlaku dalam masa yang singkat. Namun demikian segalanya tidak mustahil, manusia merancang dan Allah juga merancang. Sesungguhnya Allahlah sehebat-hebat perancang.